USAH BERSEDIH KERANA GAGAL SPM
- Naili Husna
- Mar 25, 2015
- 2 min read

Tahniah diucapkan kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi yang tidak berjaya, jangan bersedih kerana ini bukanlah pengakhiran kehidupan kalian, bahkan perjalanan hidup kalian baru sahaja bermula.
SPM bukanlah penentu sebenar masa depan kita, tetapi ia hanyalah pemangkin untuk kita lebih berjaya.
Malah, ada sebahagian pelajar yang masih mampu berjaya dan menjadi orang hebat walaupun kurang cemerlang di dalam SPM mereka.
Tidak semua manusia yang berjaya hari ini bermula dengan kecemerlangan pada permulaan.
Gagal itu sebenarnya dapat menjadi motivasi kepada diri kita agar lebih bersemangat untuk memperoleh kejayaan yang diimpikan.
Saya sendiri mengaku bahawa saya pernah gagal di dalam pelajaran tetapi setelah itu, saya memotivasikan diri dan cuba untuk menjadi lebih baik.
Alhamdulillah, kegagalan tersebut telah menjadi pemangkin untuk saya lebih berjaya.
Buat adik-adik, jangan berhenti hanya di SPM sahaja malah mohonlah untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
Jangan jadikan kegagalan sebagai alasan kalian berhenti menuntut ilmu.
Tambahan di Malaysia kini terdapat berjenis sektor pengajian yang boleh kalian susuri setelah usai SPM seperti diploma, matrikulasi, politeknik, kemahiran dan sijil.
Adik-adik jangan memandang remeh pada taraf mana-mana institusi pengajian yang mungkin pada fikiran kalian ianya kolot atau tidak begitu dipandang orang kerana terbukti ada yang telah berjaya walaupun hanya menuntut dalam bidang kemahiran.
Usaha itu tangga kejayaan.
Banyak faktor yang boleh dijadikan motivasi kepada diri kita setelah gagal memperoleh kejayaan, antaranya:
Berfikiran jauh.
Tidak senang untuk senang dan tidak susah untuk susah. Tiada manusia yang berjaya tanpa usaha. Anda akan menghargai dan berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh jika anda berusaha.
Ingat jasa ibubapa
Hargai segala jasa ibubapa kita, cuba merasai kepayahan mereka dalam menyara kita, dimana berpagi-pagi mencari rezeki tanpa mengeluh penat. Jika ibubapa kalian seorang penoreh, cuba kalian ikuti mereka ke tempat kerja dan rasai kepenatan yang ditanggung oleh mereka.
Kejayaan rakan lain
Hadirkan rasa untuk bersaing secara sihat dan cuba untuk atasi kejayaan yang rakan kalian peroleh tetapi jangan pula timbul rasa hasad dengki kepada rakan kita. Cuba untuk menjadi lebih baik dari rakan kalian.
SPM 2014 atasi Gred Purata Nasional : http://www.bharian.com.my/node/38152
Comments