AAKISA80's BANTU PENDUDUK MANEK URAI
- NAILI HUSNA
- May 8, 2015
- 2 min read

Salah satu kawasan yang dilanda banjir.
KUALA KRAI – Bagi berkongsi dan merasai sendiri keperitan mangsa banjir besar Disember lalu, Persatuan Alumni Anak Kelantan ITM Shah Alam 80an (AAKISA80's) telah bersama-sama berganding bahu turun ke Manek Urai, Kuala Krai untuk membantu penduduk setempat
AAKISA80's yang datang bersama barangan bantuan untuk diberikan kepada mangsa banjir telah berkumpul dari awal pagi di sini untuk mengagihkan barangan bantuan kepada mangsa banjir.
Jika dilihat dari persekitaran, masih banyak barang-barang asas yang perlu dibaik pulih. Tujuan utama konvoi sukarela ini dilakukan untuk membantu penduduk yang terjejas bencana banjir dalam membaikpulih kediaman dan kawasan tempat tinggal mereka.
Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh AAKISA80's antaranya membina rumah transit kepada penduduk, menderma pakaian, menghulurkan makanan asas serta menyediakan kenduri kecilan untuk penduduk serta pertandingan mewarna kepada anak-anak kecil. “Dah macam kenduri”, kata Aminah binti Maslan , penduduk kampung Manek Urai. Aminah berterima kasih kepada AAKISA80's kerana sudi membantu mereka orang kampung Manek Urai.
Memandangkan rumah penduduk banyak dibawa arus air, mereka yang sebelum ini tinggal di khemah sementara memerlukan rumah untuk berteduh dan ruang peribadi yang terlindung, maka pihak AAKISA80's memilih untuk membina rumah transit yang dibina menggunakan papan dan skru.
Menurut Mohd Najib bin Daud, salah seorang alumni AAKISA80's, beliau berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh persatuan malah rasa bersyukur kerana dapat bersama-sama merasai dan melihat sendiri apa yang terjadi di kawasan terjejas banjir.
“Pembinaan rumah transit dilakukan memandangkan penduduk memerlukan kelangsungan hidup yang berpanjangan, justeru kami bersama-sama datang bagi membina rumah untuk penduduk, mustahil mereka boleh tinggal di dalam khemah buat masa yang lebih panjang”, kata Najib.
Selain AAKISA80's, ahli juga mengambil kesempatan ini membawa keluarga bagi turut sama bergotong-royong membantu. Ada yang membawa isteri dan anak-anak untuk turut serta agar mereka dapat merasai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh penduduk yang terjejas banjir. Asmara binti Mahmud, isteri kepada Najib berkata “Saya bersyukur diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman melihat keadaan sebenar mangsa, boleh dikatakan tidak semua lagi kembali kepada asal, diharapkan pihak kerajaan dapat bertindak dan membantu mangsa bencana banjir ini”.
Sepanjang aktiviti gotong-royong dilakukan, penduduk turut sama turun padang bagi mambantu sukarelawan menyiapkan rumah transit. Malah, sepanjang hari tersebut, bukan sahaja AAKISA80's berada disitu malah ada beberapa kumpulan sukarelawan lain juga yang turut serta membantu penduduk Manek Urai.
Disini disertakan bagaimana rumah transit dibina oleh AAKISA80's.


Khemah yang didiami oleh penduduk kampung Manek Urai setelah dilanda banjir.



Sumber Air penduduk kampung.

Penduduk kampung memilih pakaian yang diderma.

Kayu-kayan untuk proses pembinaan
Comments