JADIKAN KEBERSIHAN SEBAGAI KEUTAMAAN
- MARFIRATUN AZIZAN.
- Apr 23, 2015
- 1 min read
REMBAU- 30 orang mahasiswa berpeluang mengikuti program khidmat masyarakat dan gotong-royong bersama Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Masjid Kampung Bongek anjuran Pusat Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Unit Perlindungan dan Perubatan (U3P).
Menurut pengerusi kelab U3P , Nur Amirah binti Hassan, 22, pelajar tahun 3 Fakulti Sains dan Teknologi, program ini adalah bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang berjiwa masyarakat terutamanya dalam hal berkaitan kesukarelawanan.
"Program ini sekaligus memperkenalkan lagi tentang kewujudan kelab ini di mata semua mahasiswa agar mereka lebih berjiwa produktif," tambah beliau lagi.
Muhamad Rezal bin Ahmad Zaini, pengarah program dalam ucapannya berkata, program ini diharap dapat memahamkan mahasiswa tentang konsep kebersihan.
“Motif utama program ini juga adalah untuk melahirkan kesedaran dalam diri kita terutamanya mahasiswa tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan, bukan sekadar kebersihan luaran sahaja malah, kebersihan dalaman juga yakni, hati kita,” kata beliau.
Pengagihan tugas
Mahasiswa yang terlibat diagihkan kepada tiga kumpulan, yang diketuai oleh AJK masjid.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengecat pagar sekeliling masjid, membersihkan tanah perkuburan, dan membersihkan kawasan di sekitar madrasah.
Muhammad Rezal menambah, “jadikan kebersihan sebagai satu keutamaan, kebersihan itu separuh daripada tanda keimanan,” dan beliau sekali gus mengingatkan tentang syukur kepada Allah s.w.t.
Program gotong-royong ini selesai dengan jayanya pada pukul lima petang atas kerjasama jitu dari semua pihak. Tuan Pengerusi Masjid Kampung Bongek mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.


Sebahagian sukarelawan mengecat pagar masjid.
Commentaires